Tuesday 7 July 2015

Pinjam Buku!

Hari ini, Selasa, murid-murid tahun 6 menghadapi peperiksaan Pra-UPSR sehingga hari Khamis bersamaan 9hb Julai 2015.

Selepas waktu rehat, sekolah dikunjungi oleh Perpustakaan Bergerak Daerah Sandakan. Murid-murid tahun 4 dan 5 diminta mengambil kad pinjaman perpustakaan daripada guru kelas masing-masing.

Murid-murid kelihatan begitu teruja memandangkan inilah kunjungan pertama Perpustakaan Bergerak Daerah Sandakan ke sekolah ini dalam tahun ini.

Membaca Jambatan Ilmu, begitulah yang kita sentiasa war-warkan kepada murid-murid sebagai galakan memperluaskan pengetahuan walaupun sekarang ini kita berada dalam dunia di hujung jari. Selaku manusia, kita sentiasa dicabar dengan ilmu baharu bagi meningkatkan keupayaan serta kecerdasan diri.

Guru-guru juga diberi peluang untuk meminjam buku selama sebulan, kadar jarak kedatangan kali kedua Perpustakaan Bergerak ini ke sekolah ini. Guru-guru boleh meminjam 6 buah buku sekaligus manakala murid-murid hanya dibenarkan meminjam dua buah buku.

Guru-guru sidang petang mengagihkan kad pinjaman perpustakaan kepada murid-murid sidang petang.




Gembira dengan bahan bacaan yang dipilih.

Kelihatan guru-guru SKUDS juga berpeluang untuk meminjam bahan bacaan dari Perpustakaan Bergerak ini.


Murid-murid tahun 6 dibenarkan meminjam setelah selesai menduduki peperiksaan.

Sunday 5 July 2015

Hari Tandatangan Buku Rekod Murid SKUDS

Sabtu; 04hb Julai 2015 merupakan hari menandatangani buku rekod murid bagi keputusan peperiksaan Semester Pertama 2015. Surat telah diedarkan kepada murid pada hari Selasa yang lalu, memaklumkan kepada ibubapa atau penjaga murid dapat menghadirkan diri. Peperiksaan Semester Pertama telah lama berlalu. Namun, hanya minggu ini berkesempatan mengadakan proses menandatangani keputusan tersebut. 
Seawal jam 7.15 pagi, kelihatan ibubapa telah hadir ke sekolah. Namun, kaunter hanya dibuka sekitar jam 8.00 pagi seperti yang dimaklumkan di dalam surat. Hal ini bagi memastikan segala dokumen tersedia begitu juga dengan para petugas. Memandangkan hari ini hari Sabtu, hari ganti persekolahan bagi tuntutan cuti perayaan.
Jam 7.55 pagi, ibubapa yang hadir telah menyerbu kaunter pendaftaran dan menuju ke kaunter kelas anak-anak di bawah jagaan mereka.
Ada ibubapa yang ditemani dengan anak masing-masing, tak kurang juga yang datang seorang. Keputusan diberi, diperiksa dengan teliti. Namun ada rawan di hati, betulkah keputusan anaknya sebegini. Ada yang senyum, memandang A bersusun. Ada yang resah, juga tak kisah.










Lawatan FasiLINUS ke SKUDS



Saturday 27 June 2015

PROGRAM IHYA RAMADAN PANITIA PEND. ISLAM SKUDS

Ramadan tiba membawa keberkatan. Untuk itu Panitia Pend. Islam mengadakan program ini dengan  tujuan mendapat berkatnya Ramadan serta menghidupkan rasa rendah diri di bulan mulia ini.

Program ini melibatkan semua murid serta guru-guru dan kakitangan SKUDS. Setiap hari Isnin diadakan KULTIM (Kuliah Tiga Minit) disampaikan oleh murid yang terpilih. Seterusnya setiap rehat akan diadakan Tadarus Al-Quran : Al-Quran Di Hatiku bertempat di Surau SKUDS.







Setiap hari Rabu pula, Kuiz Ramadan akan dibacakan dan mereka dikehendaki menyerahkan jawapan masing-masing pada hari Jumaat.

Insya Allah, pada minggu terakhir sebelum bercuti, Majlis Berbuka Puasa akan diadakan. Antara aktiviti yang bakal diselitkan ialah Khatam Al-Quran oleh Staf SKUDS, Memasak Bubur Lambuk bersama AJK PIBG dan majlis berbuka puasa.

Semoga keberkatan yang dicari dapat mengeratkan silaturrahim antara kita. Tidak kurang juga menginsafi segala kekurangan dan kesalahan yang telah kita lakukan. Andai ada salah dan silap, lebih baik bermaaf-maafan.

Salam Ramadan Al-Mubarak.

Tuesday 23 June 2015

Sesi Persekolahan Semester Kedua bagi tahun 2015

Dah masuk minggu kedua sesi persekolahan.
Lupa nak update status.
Terima kasih kerana mengikuti perjalanan kami sehari-hari. Jangan jemu, ya!??


Sesungguhnya perhimpunan pagi membawa murid dalam keadaan bersedia sebelum meneruskan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Minggu kedua, murid-murid datang ke sekolah dalam keadaan berpuasa di bulan Ramadan. Bagi murid yang tidak berpuasa, telah disampaikan pesan oleh PK HEM agar tidak menayang makanan ataupun makan di hadapan murid yang berpuasa. Mereka yang tidak berpuasa diminta ke kantin sewaktu rehat, untuk makan dan minum bekalan yang mereka bawa atau beli atau disediakan oleh pihak kantin sekolah.


Seperti hari-hari persekolahan pada sesi yang lalu, setiap pagi pasti ada perhimpunan pagi. Antara isi kandungan perhimpunan tersebut ialah : bacaan doa, hafal sifir, baca peribahasa, recite poem in English Day every Tuesday.

Tidak lupa diucapkan sekalung tahniah buat pasukan Ragbi Lelaki bawah 10 tahun yang telah berjaya merangkul Naib Johan pada cuti semester yang lalu. Pasukan ini dibentuk oleh Cikgu Mohd. Nazri dan Cikgu Ahmad Shafrian. Syabas dan tahniah sekali lagi buat pasukan sekolah.

Monday 1 June 2015

Kelas Tambahan Jun 2015

Pagi ini, SK Ulu Dusun membuka lembaran cuti semester Pertama dengan Kelas Tambahan bagi murid-murid tahun 6 yang bakal menduduki UPSR September nanti.

Kelas bermula pada jam 7.30 pagi hingga jam 11.30 tengah hari. Setiap hari hanya 2 subjek UPSR yang akan diajar. Tenaga pengajar terdiri daripada kalangan warga SKUDS yang tinggal di kawasan Sandakan. Terima kasih, cikgu!

Pihak SKUDS mengharapkan kehadiran murid-murid yang memberangsangkan sepanjang cuti ini. Pengorbanan hari ini, bakal menempa kejayaan akan datang.

Selamat belajar. Tumpukan sepenuh perhatian anda. Laksanakan tanggungjawab masing-masing. Kerana masa depan dan nama sekolah terletak di bahu anda.

Saturday 30 May 2015

AKTIVITI SEKOLAH PANITIA PEND. ISLAM DAN PEND. MORAL KEM BESTARI SOLAT



Pada 27hb Mei bersamaan hari Rabu, pihak Panitia Pend. Islam SKUDS telah menjalankan Kem Bestari Solat Siri 1 bagi tahun 2015.

Dimulakan dengan taklimat pengenalan berkenaan Solat, bertempat di Bilik Inspirasi. Sebelum kita melaksanakan solat hendaklah kita bersihkan diri kita terlebih dahulu. Proses ini dinamakan berwudhuk.

Dalam pada masa yang sama, pihak penganjur mencungkil maklumat tersedia dalam diri murid-murid. Seperti sesi soal jawab berkenaan rutin harian mereka sebagai seorang muslim di rumah. Ada peserta yang memberikan respon positif terhadap soalan yang diajukan seperti siapa bangun solat Subuh pagi tadi. Ada juga yang mampu memberikan jawapan spontan berkenaan tatacara berwudhuk yang betul.

Sesi penulisan nota, di mana murid-murid diminta menyalin nota untuk tajuk kali ini. Kesannya, majoriti murid dapat menghafaz doa selepas berwudhuk berbanding dapatan LDK pada tahun lalu. Alhamdulillah.









Manakala murid-murid bukan beragama Islam melibatkan diri dengan aktiviti Moral di Pusat Sumber Sekolah. Dimulakan dengan acara senamrobik.